RM201 juta BMT untuk pekebun diberikan - Utusan Malaysia

RM201 juta BMT untuk pekebun diberikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM201 juta diperuntukkan kepada 237,207 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan 61,763 pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd Sharif berkata, kadar bantuan berjumlah RM600 seorang dimasukkan ke akaun penerima yang berdaftar melalui dua peringkat mulai hari ini dan bakinya pada bulan depan.

“ Sebanyak 202,717 pekebun kecil atau kira-kira 85 peratus daripada 237, 207 pekebun sudah menerima bantuan itu hari ini. 15 peratus atau 34,490 pekebun kecil menerima bantuan pada minggu depan.

“Pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Risda serta mengusahakan kebun getah dengan jumlah keseluruhan milikan tanah tidak melebihi 2.5 hektar layak menerima bantuan ini dan bantuan diberikan kepada satu lot penerima sahaja sama ada pekebun kecil atau penoreh,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen semalam.

Dalam pada itu, Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, negeri yang mencatatkan penerima paling ramai adalah Sarawak 58,048 orang diikuti Kelantan (49,328 orang) dan Kedah seramai 45,297 orang.

“BMT ini memberi manfaat kepada ribuan pekebun kecil dan penoreh getah dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah yang sangat terkesan apabila mereka kehilangan punca pendapatan pada musim tengkujuh.

“Malah sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan juga sudah menyatakan komitmen akan meneruskan BMT untuk tahun depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN