Raut wajah, usia muda modal pendakwah selebriti goda mangsa - Utusan Malaysia

Raut wajah, usia muda modal pendakwah selebriti goda mangsa

NOOR Azam Jamaludin (dua kanan) bersama Mohamad Fuzi Harun dalam majlis sumbangan set penjagaan keselamatan diri daripada Inix Technologies Holdings Berhad di IPK, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menggunakan pendekatan dengan memberikan kata-kata motivasi antara modus operandi digunakan pendakwah selebriti yang ditahan atas pelbagai dakwaan termasuk merogol sehingga mangsa terjerat.

Malah, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin juga tidak menolak faktor usia muda dan raut wajah suspek antara tarikan menyebabkan mangsa terpengaruh.

Beliau berkata, suspek akan mendekati mangsa yang mempunyai pelbagai masalah dengan menggunakan status pendakwahnya.

“Selain itu, suspek juga meyakinkan mangsa dengan menggunakan keagamaan. Mangsa mungkin terpengaruh dengan kata-kata semangat yang diberikan suspek.

“Daripada aspek raut wajah pula, perkara tersebut adalah pemerhatian masing-masing tetapi mungkin menjadi faktor kerana suspek dan mangsa masing-masing muda. Namun, kita menolak sebarang unsur ilmu pengasih digunakan suspek,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan set penjagaan keselamatan diri daripada Inix Technologies Holdings Berhad sebanyak 500 kotak bernilai RM50,000 disampaikan Pengerusi Bebas dan Bukan Esksekutifnya, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Berhubung tindakan mangsa yang mengambil masa agak lama untuk membuat laporan polis, Noor Azam menjelaskan, perkara itu melibatkan maruah mangsa.

“Mangsa mengambil masa agak lama kerana kadangkala mereka malu dan melibatkan maruah seseorang.

“Apabila seorang mangsa membuat laporan, akan ada dua atau tiga lagi melakukan perkara sama. Oleh demikian, kita menyeru mereka yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis dan tidak perlu takut,” ujarnya.

Kata neliau, pihaknya tidak menolak suspek mungkin akan didakwa dalam kadar segera sekiranya siasatan dilakukan lengkap dan bukti mencukupi.

“Setakat ini, kita sedang menjalankan siasatan dan mengumpul semua bukti. Sejurus selepas siasatan lengkap, kita akan merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya