PORT DICKSON: Pusat pemindahan sementara di Balairaya Kampung Jimah Lama, dekat sini tutup pada pukul 12 tengah hari tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, pihaknya menerima arahan penutupan itu susulan keadaan banjir kilat di kampung berkenaan semalam mula terkawal hari ini.
“Kami menerima arahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Port Dickson, Khairy Maamor untuk menutup pusat berkenaan tengah hari ini. Kami juga melihat keadaan cuaca bertambah baik dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehingga pagi tadi, seramai empat keluarga melibatkan 22 mangsa berada di pusat pemindahan berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air susulan banjir kilat yang berlaku awal pagi semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Azri memberitahu, pihaknya akan sentiasa melakukan tinjauan di kawasan berkenaan kerana ia lokasi berisiko banjir kilat.
“Kami akan kerap melakukan tinjauan dan memantau keadaan semasa di Kampung Jimah Lama yang mana kampung ini berisiko tinggi terjejas akibat banjir kilat,” katanya. – UTUSAN ONLINE