Pusat panggilan Macau Scam diserbu, 22 individu ditahan - Utusan Malaysia

Pusat panggilan Macau Scam diserbu, 22 individu ditahan

ZAINUDDIN Yaacob menunjukkan gambar suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 22 individu termasuk tiga wanita tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam yang melibatkan kerugian sebanyak RM360,000 di sebuah premis, di sini semalam.  

Suspek berusia lingkungan 20 tahun hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan antara pukul 7 pagi hingga 4 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan premis yang diserbu berkenaan sebagai pusat panggilan untuk melakukan penipuan.

Katanya, sindiket itu dikesan menggunakan aplikasi terkini di pasaran sebagai medium komunikasi dan menggunakan ‘dark web’ untuk mendapatkan maklumat mangsa yang disasarkan.

“Sindiket itu juga menggunakan MyEG Services Bhd. (MyEG), JPJ Portal dan SPR Portal untuk mendapatkan maklumat lebih mendalam seterusnya menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan Telekom Malaysia dan pegawai polis dari Kontinjen Terengganu.

“Kebanyakan mangsa yang ditipu dalam kes ini disebabkan mereka takut digertak akan ditangkap, dituduh di mahkamah dan diambil tindakan di bawah rampasan harta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak April 2018 yang mana beberapa individu daripada kumpulan berkenaan menjalani latihan selama seminggu di Kemboja.

Katanya, kumpulan itu juga bekerja di Laos sejak pertengahan 2018 sehingga Mac lalu sebelum berpindah balik ke Malaysia pada Mei 2020 ekoran pandemik Covid-19.

“Kumpulan itu juga telah menjadikan sebuah rumah di Menglembu, Ipoh sebagai rumah transit pada September lalu sebelum mereka memulakan operasi di Taiping, bulan lalu.

“Bagaimanapun, operasi pusat panggilan yang kemudian berpindah di Ipoh sejak pertengahan bulan ini tidak bertahan lama apabila kesemua mereka diberkas semalam,” katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan itu polis merampas dua buah kereta, tiga komputer riba, 47 unit telefon bimbit, 37 set skrip, 12 pasport, modem, tablet, kunci rumah, router dan broadband.

“Kesemua suspek ditahan reman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan juga diambil di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya