BUKIT MERTAJAM: Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Itu tindakan seorang wanita yang memukul dua ekor kucing dengan besi sehingga salah seekor daripadanya mati.
Tindakan tidak bertamadun itu dipercayai dilakukan hanya disebabkan perasaan geram terhadap beberapa ekor kucing yang dipercayai membuang najis di hadapan rumahnya sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.20 petang semalam di kawasan bawah sebuah pangsapuri di Seberang Jaya, di sini.
Katanya, ketika kejadian, seorang saksi yang juga pengadu dikatakan melihat perbuatan suspek berusia 51 tahun itu.
“Menurut pengadu, suspek memukul dua ekor kucing yang sedang diberi makan oleh rakannya.
“Akibat kejadian itu, salah seekor kucing tersebut yang dalam keadaan bunting mati manakala seekor lagi iaitu anak kucing luka di bahagian mulut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shafee berkata, pengadu kemudian menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum kucing tersebut diambil dan dibawa ke ibu pejabat JPV di Jalan Bukit Tengah, di sini.
Siasatan awal terhadap suspek yang bekerja sebagai seorang broker itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Siasatan lanjut juga mendapati, Dr. Tishrin Mohamad Ismail (pegawai veterinar) telah hadir ke lokasi bersama seorang Pegawai Kebajikan Haiwan.
“Kertas siasatan mengenai kes itu telah dibuka oleh Pegawai Penyiasat Veterinar, Azhar Ahmad di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. – UTUSANN ONLINE