BALIK PULAU: Tender bagi projek pemuliharan dan pemeliharan monumen di bulatan Jalan Balik Pulau di sini yang menimbulkan kontroversi kerana didakwa menelan kos terlalu tinggi dilaksanakan secara tender terbuka.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yew Tung Seang berkata, sebanyak lima penender telah mengemukakan kertas kerja masing-masing untuk projek berkenaan.
Katanya, seorang penender telah dipilih kerana menawarkan kos yang rendah iaitu RM437,000 serta diyakini mampu melaksanakan tugas-tugas memelihara monumen berkenaan.
“Kita telah mendapat peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bernilai RM500,000 bagi projek memelihara monumen yang dikategorikan sebagai warisan kategori satu ini.
“Penender yang dipilih telah menawarkan harga yang rendah serta menepati kriteria yang ditetapkan dan projek ini dijangka siap dalam tempoh lima bulan lagi,” katanya selepas melawat monumen berkenaan di Jalan Balik Pulau di sini semalam.
Sebelum ini, kos bagi projek berkenaan dipersoalkan kerana didakwa terlalu tinggi bagi sebuah projek pemeliharaan dan pemuliharan monumen warisan.
Menurut Tung Seang, monumen itu telah dibina pada tahun 1882 dan merupakan kawasan pancuran air untuk haiwan seperti kuda yang dimiliki oleh penjajah British.
“Selepas terlalu lama dan kerja-kerja naik taraf jalan dilakukan, kita dapati pancuran air ini telah mendap di dalam tanah.
“Sumber air bagi kegunaan pancuran air ini juga telah tenggelam, jadi kerja-kerja pemeliharaan monumen ini melibatkan kerja-kerja untuk membaiki dan mengangkat semula pancuran air berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, kerja-kerja menaik taraf, memelihara dan memulihara monumen berkenaan akan dipantau oleh jurutera khas dan juga konservator bertauliah.
“Ini bagi memastikan nilai-nilai sejarah dijaga dengan rapi dan kerja-kerja yang dijalankan mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, projek itu juga melibatkan kerja menaik taraf jalan,mencantikkan landskap dan laluan di kawasan Jalan Balik Pulau itu. -UTUSAN ONLINE