KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menguncup sebanyak 6.4 peratus.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata, bagi prestasi ekonomi pada suku ketiga tahun ini masih mencatat penguncupan sebanyak 2.7 peratus.
Katanya, bagaimanapun, kadar penguncupan ini adalah lebih rendah berbanding suku kedua ini.
“Pandemik Covid-19 memberi kesan yang amat ketara kepada ekonomi negara.
” Kerajaan yakin bahawa kesan penyederhanaan pertumbuhan ekonomi ini adalah bersifat sementara,” katanya dalam sesi jawab lisan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Arthur berkata, sektor perkhidmatan antara sektor paling banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan KDNK iaitu sebanyak 57.7 peratus pada tahun 2019.
Katanya, sektor kedua terbesar pula adalah sektor pembuatan yang menyumbang sebanyak 22.3 peratus kepada KDNK, diikuti oleh sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian yang masing-masing menyumbang sebanyak 7.1 peratus.
“Sektor pembinaan pula, sebanyak 4.7 peratus disumbangkan kepada KDNK bagi tempoh yang sama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE