IPOH: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di Istana Kinta di sini untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Kenderaan yang membawa beliau dilihat memasuki pekarangan Istana Kinta kira-kira pukul 10.50 pagi.
Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menghantar surat memohon menghadap Sultan Perak pada 10 Disember lalu berikutan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak menghadap sebagaimana dititahkan baginda pada Selasa lalu ketika kemelut politik Perak.
Tiga ADUN Pas itu ialah ADUN Semanggol yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Mohd. Khalil Yahaya.
Razman yang mengulas tindakan mereka berkata, keputusan berkenaan diambil atas arahan pucuk kepemimpinan parti.
Berikutan itu, tiga ADUN Pas itu menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Perak atas kekhilafan mereka kerana tidak menghadap sebagaimana dititahkan baginda. – UTUSAN