JOHOR BAHRU: Polis melakukan siasatan isu kartel daging sejuk beku dan pemalsuan dokumen yang dilakukan di sebuah gudang kartel di Senai, di sini mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan itu dibuat berikutan salah satu daripada 15 laporan yang diterima berhubung kes tersebut yang diterima sejak awal Disember ini.
Beliau berkata, laporan polis itu dibuat bagi menyuarakan kebimbangan dan ketidakselesaan pihak terlibat terhadap isu berkenaan kerana melibatkan agama Islam.
“Seperti mana yang dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjalankan siasatan berhubung isu kartel daging ini.
“Polis Bukit Aman akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam).
“Tetapi ada satu laporan polis dibuat di Kulai oleh seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai berhubung isu ini. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 A Kanun Keseksaan (melukakan perasaan umat Islam),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, setakat ini, sebanyak 15 laporan polis yang diterima yang mana 13 daripadanya dibuat oleh KPDNHEP, satu dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan satu lagi dibuat oleh seorang Bersatu Bahagian Kulai.
Katanya, polis masih menempatkan anggota menjaga gudang sejuk beku di Senai bagi tujuan keselamatan terhadap penguat kuasa yang menjalankan siasatan di lokasi terbabit.
“Kita jangkakan banyak lagi laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan isu kartel daging ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE