PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang ramai yang melakukan perjalanan rentas sempadan supaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, walaupun kelonggaran diberikan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan, namun virus Covid-19 masih lagi
berada di sekeliling kita.
Oleh itu, katanya, PLUS menasihatkan semua pelanggan lebuh raya supaya membuat urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal sebelum mereka memasuki
lebuh raya di 11,000 kaunter tambah nilai yang disediakan di stesen minyak, pusat membeli-belah, mesin ATM dan sebagainya bagi memastikan mereka mempunyai baki yang cukup untuk
perjalanan mereka.
Katanya, langkah mudah ini dapat menggalakkan transaksi tanpa sentuh dan tanpa tunai yang berperanan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Dalam masa yang sama, PLUS mengalakkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan agar lebih bertanggungjawab semasa situasi wabak Covid-19 ini.
“Pelanggan lebuh raya boleh menyemak status destinasi yang dituju daripada perspektif Covid-19 sebelum memulakan perjalanan mereka. Maklumat tersebut boleh didapati menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, PLUS dan pasukan barisan hadapan lebuh rayanya sentiasa komited menjaga pelanggannya sepanjang perjalanan selain mengingatkan pelanggan supaya sentiasa mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, membersihkan
tangan menggunakan pencuci nyah kuman, mengambil bacaan suhu badan serta mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera apabila singgah di R&R, hentian sebelah dan restoran
jejantas di sepanjang lebuh raya.
PLUS katanya, komited untuk terus membantu menyediakan perjalanan yang selamat dan selesa.
“Ramai yang telah memuat turun Aplikasi PLUS yang membolehkan mereka merancang perjalanan serta mendapatkan kadar bayaran tol ke destinasi mereka. Aplikasi ini juga membolehkan pelanggan untuk membuat pra-pesanan makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang terpilih sepanjang perjalanan.
“Lebih utama, aplikasi ini juga membolehkan pelanggan mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda sekiranya berlaku kecemasan di lebuh raya selain menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000.
Katanya, perjalanan pelanggan di sepanjang 1,130 kilometer lebuh raya kendalian PLUS dibantu oleh 17 seksyen dan 4 wilayah operasi dengan kehadiran 572 anggota PLUSRonda serta pasukan
keselamatan lebuh raya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.
Dengan 29 R&R dan 50 hentian sebelah, katanya, pelanggan lebuh raya berpeluang untuk berhenti rehat dan menjamu selera dan mendapatkan pelbagai juadah makanan dan barangan daripada 600 rakan niaga PLUS.
“Dalam masa yang sama, PLUS mengalakkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan agar lebih bertanggungjawab semasa situasi wabak Covid-19 ini. Pelanggan lebuh raya boleh
menyemak status destinasi yang dituju daripada perspektif Covid-19 sebelum memulakan perjalanan mereka. Maklumat tersebut boleh didapati menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN)
atau Aplikasi MySejahtera,” ujar Azman. – UTUSAN