PASIR PUTEH: Kampung Dalam Huma, Bukit Awang di sini mula dikawal ketat dengan tiga sekatan jalan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falah mulai tengah malam ini.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, langkah itu bagi melancarkan penugasan, selain sebagai pemakluman lebih awal kepada penduduk di kawasan itu.
Menurut beliau, polis akan memasang kawat duri mengelilingi Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, dan menggunakan dron untuk memantau warga pondok itu sepanjang PKPD.
“Pemantauan udara menggunakan dron kerana lokaliti perkampungan ini dikelilingi hutan dan masih ada kawasan yang ditenggelami air bah.
“Soal kebajikan penduduk dan warga pondok terutama keperluan makanan akan diputuskan dalam mesyuarat khas agensi berkaitan kerana sepanjang PKPD tidak dibenarkan sama sekali keluar masuk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan di laluan utama Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, yang menjadi lokaliti Kluster Huma.
Menurut Shafien, setakat ini, lebih 100 warga Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan menunggu status kesihatan mereka.
“Mereka yang sudah disahkan positif Covid-19 dihantar ke hospital untuk rawatan dan kuarantin. Penduduk sekitar juga dalam proses saringan dijalankan Kementerian Kesihatan dari rumah ke rumah.
“Penduduk berhampiran yang berisiko dan tahap kebarangkalian positif Covid-19 tinggi kerana mereka pernah datang solat berjemaah dan bergaul dengan warga pondok,” katanya.
Semalam Kelantan merekodkan 35 kes baharu positif Covid-19, iaitu angka tertinggi setakat ini menjadikan kes aktif keseluruhan sebanyak 436 kes.
Kesemua kes baharu itu adalah kontak rapat Kluster Huma membabitkan remaja dan warga emas dari Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah. – UTUSAN