PKP tingkatkan jualan barangan tiruan - Utusan Malaysia

PKP tingkatkan jualan barangan tiruan

ISKANDAR Halim Sulaiman (kiri) menunjukkan antara barang-barang ekshibit yang dilupuskan pada Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya di Nilai, Seremban hari ini.- UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peningkatan jual beli dalam talian semasa Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu turut mendorong kepada peningkatan kes jualan barangan tiruan.

Pengarah Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, peningkatan tersebut memang berlaku semasa PKP lalu susulan aduan yang diterima daripada pemilik-pemilik cap dagang.

“Memang ada berlaku peningkatan (jualan barang tiruan dalam talian). Pertama disebabkan kesedaran tuan punya cap dagang itu sendiri, apabila mereka mendapati jualannya semakin menurun, mereka akan cari sebab-sebabnya. Biasanya ancaman utama memang barang tiruan, jadi memang banyak mereka buat aduan.

“Pada masa PKP, aduan salah laku ‘online’ ini meningkat begitu banyak, ini disebabkan masa PKP ramai pengguna tak boleh keluar beli barang. Mereka beli ‘online’ dan jualan ‘online’ sangat meningkat. Pada masa itu ada yang tidak bertanggungjawab tawarkan barang tiruan yang ‘substandard’ kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya di Nilai, dekat sini hari ini.

Iskandar Halim berkata, pihaknya akan berterusan  menangani kes barangan tiruan dan melindungi cap-cap dagang namun ia memerlukan kerjasama daripada pemilik-pemilik cap dagang berkenaan.

“Jika libatkan barang tiruan, biasanya kami menerima aduan daripada pemilik cap dagang. Mereka buat aduan kepada kami kerana mendapati cap dagang ditiru dan kami buat tindakan.

“Memang tindakan secara berterusan cuma untuk lindungi cap dagang ini, tuan punya cap dagang mestilah datang mengemukakan aduan. Kita juga tak tahu siapa punya cap dagang sebenarnya. Keduanya, kami juga tidak tahu sesuatu barang itu tiruan ataupun tidak cuma tuan punya cap daganglah yang boleh mengesahkannya itu barang tiruan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan pihaknya, peniaga kecil beroperasi di rumah adalah antara golongan yang banyak didapati menjual barangan tiruan dalam talian.

“Kalau ‘online’ biasanya mereka beroperasi secara bersendirian. Ada di rumah, bila ada aduan, kami buat siasatan siapa tuan punya yang berdaftar dan buat perniagaan ‘online’ dan kami dapati memang mereka beroperasi di rumah sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya