GEORGETOWN: Sejarah akan merekodkan penamatan perkhidmatan feri yang berusia 126 tahun di negeri ini dikaitkan dengan Kerajaan Pusat pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Malah, Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, sejarah juga merekodkan perkhidmatan feri tergendala pada Ogos lalu yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini.
Menurutnya, keputusan penamatan perkhidmatan feri itu adalah rekod tindakan yang diambil kerajaan PN terhadap Pulau Pinang termasuk pembatalan projek kereta kabel Bukit Bendera dan penolakan jaminan kerajaan untuk projek transit aliran ringan (LRT).
“Rakyat Pulau Pinang kini sedar sikap Kerajaan Persekutuan di bawah PN yang mengutamakan kepentingan politik sendiri daripada kepentingan orang awam dan rakyat khasnya penduduk Pulau Pinang,” demikian menurut kenyataan itu.
Kelab itu menambah, pihaknya kecewa dengan keputusan penamatan perkhidmatan feri itu meskipun pelbagai permohonan dibuat oleh pelbagai pihak termasuk Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Dewan Rakyat yang menyeru Kerajaan Persekutuan mengekalkan perkhidmatan ikonik tersebut.
Katanya, permohonan itu langsung tidak dipertimbangkan dengan alasan kadar penggunaan perkhidmatan feri yang rendah dan laluan alternatif seperti jambatan pertama dan kedua. – UTUSAN ONLINE