ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mencadangkan kerajaan memperkenal cukai bekalan air mentah antara negeri untuk menyelesaikan perbalahan antara Kedah dan Pulau Pinang berkaitan tuntutan pampasan air.
Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tuntutan bayaran pampasan oleh Kedah kepada Pulau Pinang bukan perkara baharu dan wajar diselesaikan dengan kaedah realistik.
“Setiap kali Kerajaan Negeri Kedah berubah pucuk pimpinan, isu berkenaan bangkit semula tetapi tiada juga penyelesaian.
“Satu pihak meminta bayaran manakala satu pihak lagi tidak mengendahkan tuntutan itu atas alasan mereka adalah negeri ‘riparian’ iaitu negeri laluan sungai.
“Kaedah tuntutan masih sama sejak puluhan tahun dahulu, tetapi setiap kali tuntutan dibuat Kerajaan Negeri Kedah mengharapkan keputusan berbeza,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan,
kerajaan negeri tetap mahu menuntut bayaran bekalan air mentah Sungai Muda daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menampung kos pemuliharaan kawasan tadahan air.
Bagaimanapun, Pulau Pinang pula berkata, pihaknya tidak akan membayar tuntutan RM50 juta caj sumber air mentah setahun seperti dibangkitkan Muhammad Sanusi.
Syed Mohd. Johan Rizal berkata, tuntutan Kedah wajar melihat situasi semasa faedah yang dinikmati Pulau Pinang yang memperoleh sumber air mentah secara percuma, merawat air dan menjual sumber ini untuk kegunaan seluruh rakyatnya.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperoleh keuntungan berlipat ganda manakala Kedah terpaksa berkorban apabila tidak boleh melakukan pembangunan dan pembalakan di dataran hulu Sungai Muda demi manfaat rakyat Pulau Pinang, tanpa apa apa hasil kepada kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, kerajaan Pusat mempunyai kuasa memperkenal peraturan pembayaran pampasan berbentuk cukai tersebut.
“Perkara 74 (1) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama artikel 11 (b) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai bekalan air sungai dan terusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE