ALOR GAJAH: Seorang penghulu yang memiliki rekod lampau berkaitan dadah kira-kira lima tahun lalu dicekup lagi atas kesalahan sama ketika serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Datok, di sini semalam.
Lelaki berusia 48 tahun itu dicekup bersama-sama empat rakannya ketika sedang melepak di luar rumah tersebut yang juga milik salah seorang rakannya, kira-kira pukul 2.50 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati penghulu tersebut positif dadah jenis syabu manakala empat yang lain ganja.
Katanya, kesemua mereka berusia antara 48 tahun hingga 63 tahun.
“Semakan lanjut mendapati penghulu terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada 2015.
“Serbuan dibuat Cawangan Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas menerima maklumat awam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Zulkiflee, pihaknya menemukan kira-kira 15 liter bungkusan lut sinar disyaki air ketum yang berada di atas meja di luar rumah tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut di belakang rumah berkenaan menemukan sebanyak 20 batang pokok ketum yang ditanam.
“Salah seorang suspek yang tinggal di rumah berkenaan juga mengaku merebus daun-daun ketum itu bagi mendapatkan airnya.
“Dia kemudian secara sukarela mencantas kesemua pokok ketum berkenaan sebelum mereka dibawa IPD Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 2 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN ONLINE