Penghantaran semula Giant Panda tertakluk perjanjian 10 tahun Malaysia-China - Utusan Malaysia

Penghantaran semula Giant Panda tertakluk perjanjian 10 tahun Malaysia-China

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penghantaran semula Giant Panda ke negara asal adalah tertakluk kepada ikatan perjanjian antara Malaysia dan China dalam tempoh 10 tahun yang berakhir pada 2024.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, perjanjian di bawah Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda itu melalui China Wildlife Conservation Association (CWCA) dimeterai sejak tahun 2014 iaitu tahun ketibaan pasangan Giant Panda di negara ini.

Kata beliau, persetujuan republik itu meminjamkan pasangan Giant Panda berkenaan membuktikan hubungan istimewa yang terjalin antara kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada tahun 1974.

“Pasangan Giant Panda ini melahirkan dua anak iaitu Nuan Nuan pada 2015 dan Yi Yi pada 2018. Setiap anak Giant Panda perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia 4 tahun.

“Nuan Nuan dihantar pulang pada 2017, namun Yi Yi yang genap 2 tahun pada 14 Januari lalu sepatutnya dihantar pulang pada April lalu tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga kini kerana pusat konservasi di negara tersebut masih ditutup berikutan pandemik Covid-19.

“Kementerian akan menghantar pulang Yi Yi secepat mungkin selepas tarikh dipersetujui China,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai menjawab desakan Persatuan Haiwan Malaysia untuk memulangkan Giant Panda ke negara asalnya kerana kos pengurusan tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan bertemu pengurusan Zoo Negara pada Khamis ini bagi membincangkan mekanisme pengukuhan operasi pusat itu khususnya dalam aspek tadbir urus supaya lebih berdaya maju selain memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

Berikutan krisis kewangan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata beliau, sejak Januari hingga September lalu, Zoo Negara berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM10.6 juta daripada pelbagai pihak dalam bentuk kewangan dan makanan haiwan.

Jelasnya, jumlah itu sepatutnnya lebih mencukupi untuk menampung keperluan makanan haiwan berdasarkan rekod perbelanjaan Zoo Negara.

Oleh itu, katanya, Zoo Negara hendaklah menguruskan sumbangan yang diterima secara telus dan berhemah.

Bagaimanapun, kata beliau, kementerian tidak pernah ketinggalan membantu Zoo Negara walaupun ia dimiliki pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beroperasi sebagai entiti perniagaan dan diberikan permit pengendalian zoo secara tahunan oleh Jabatan Perhilitan.

“Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta disalurkan kepada Zoo Negara pada 10 April lalu untuk menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan.

“Diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan juga diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).

“Bantuan kerajaan kepada Zoo Negara bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh PKP, tetapi disalur bermula awal penubuhan Zoo Negara dengan menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek menaik taraf sejak Rancangan Malaysia Ke-7,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN