Penghantar surat buka pusat cuci kenderaan - Utusan Malaysia

Penghantar surat buka pusat cuci kenderaan

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hilang mata pencarian sebaik sahaja menerima surat diberhentikan kerja tidak mematahkan semangat seorang penghantar surat untuk bangkit menjadi usahawan kedai mencuci kereta.

Ahmad Humini Alias, 41, berkata, dia tidak putus harapan dan bangkit semula dengan mengusahakan kedai mencuci kenderaan di Jalan Kebun, di sini selepas hilang pekerjaan kesan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, dia bekerja sebagai penghantar surat sejak lima tahun lalu dengan pendapatan RM1,500 sebulan, namun diberhentikan kerja susulan penjimatan kos operasi syarikat.

“Saya bertekad membuka kedai mencuci kenderaan di Jalan Kebun Ogos lalu dengan bantuan modal Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM10,000 sebagai punca rezeki baharu.

“Memang sedih dihentikan kerja, namun saya tidak boleh lama berada dalam situasi seperti itu disebabkan perlu menanggung keluarga.

“Sepanjang tempoh tiga bulan kehilangan kerja, saya bekerja di pusat cucian kereta milik rakan di Bukit Naga di sini sebelum membuat keputusan mengusahakan sendiri kedai mencuci kereta,” kata bapa lima anak itu, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Humini, dia bernasib baik kerana sebelum ini pernah menyertai kursus dianjurkan LZS selepas patah tangan dan kaki akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu sekali gus melayakkannya menerima suntikan modal.

Akibat kemalangan tersebut, katanya, dia kehilangan kerja sebagai penghantar surat di syarikat lama dan berharap ihsan dan bantuan rakan berikutan isterinya tidak bekerja.

“Sebaik sahaja sembuh, saya kembali bekerja sebagai penghantar surat di syarikat baharu dan hujung minggu menyertai program keusahawanan ditawarkan LZS.

“Hasil daripada ilmu kursus tersebut, saya mula melakukan kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga. Kerja-kerja sampingan ini menunjukkan peningkatan setiap bulan hingga melayakkan saya menerima bantuan modal berniaga,” ujarnya.

Mengulas lanjut, dia berhasrat mengembangkan perniagaan bersama rakan dengan membuka khidmat cucian bangunan dan pejabat termasuk menawarkan khidmat pembantu rumah kepada sesiapa yang berminat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya