Penggunaan elektrik, air meningkat sekali ganda semasa PKP - Utusan Malaysia

Penggunaan elektrik, air meningkat sekali ganda semasa PKP

MOHD. Zolkafly Harun (kanan) melancarkan Kempen Bijak Guna Tenaga Dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di  Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kadar penggunaan elektrik dan air bagi sektor kediaman di Perak meningkat sehingga sekali ganda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, bermula Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kadar penggunaannya meningkat antara 40 sehingga 100 peratus dalam tempoh tersebut.

Katanya, kadar itu menyebabkan peningkatan bayaran daripada RM100 ke RM300 bagi setiap bil isi rumah berbanding sebelum PKP.

“Dianggarkan terdapat lebih 400,000 rumah yang menerima bekalan air dan elektrik di negeri ini. Jika dijumlahkan purata penggunaan ini mencecah lebih RM60 juta.

“Jumlah ini tinggi, namun kita akui peningkatan penggunaan elektrik dan air dalam tempoh PKP memang tidak dapat dielakkan kerana hampir semua isi rumah berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pelancaran Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Kempen berkenaan bagi menggalakkan warga negeri ini menggunakan sumber air dan tenaga secara optimum dan berhemah tanpa pembaziran.

Mohd. Zolkafly berkata, menerusi kempen itu, kerajaan negeri menyasarkan penurunan penggunaan tenaga dan air sebanyak 25 peratus iaitu penjimatan sehingga RM15 juta.

Katanya, walaupun tempoh PKP  tamat, impak ke atas ekonomi isi rumah yang terkesan berterusan.

“Kempen  ini dijalankan selama sebulan melalui media konvensional dan sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Dengan penjimatan yang dilakukan setiap keluarga melalui penggunaan sumber ini, mereka mempunyai lebihan dana untuk digunakan bagi membiayai kos kehidupan lain seperti membeli keperluan dapur dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya