KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan, S. Gunasekaran, 52, mengakui tergamam dan tidak menyangka seorang kanak-kanak dicampak keluar dari tingkap di tingkat empat di pangsapuri di Danau Kota, Ahad lalu.
Ketika kejadian, dia baru sahaja memulakan tempoh bekerja pada pukul 7.30 pagi dan sedang berada di pondok pengawal pintu utama pangsapuri, dengan jarak kurang 100 meter dari blok tersebut.
“Ketika saya berada di pondok pengawal, ada bunyi bising-bising dari blok rumah mangsa. Sedang saya memerhati dari jauh, tiba-tiba ada seorang kanak-kanak dicampak keluar dari tingkap tingkat empat.
“Selepas itu, suspek juga terjun dari tingkap. Dia cuba larikan diri tetapi saya cepat-cepat meminta pasukan pengawal bergegas membantu dan nasib baik polis tiba di tempat kejadian tepat pada masanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Gunasekaran, selepas mangsa dibawa ke hospital dan suspek ditahan, salah seorang ahli keluarganya pulang mengambil barang namun tidak pulang lagi ke rumah sehingga keesokannya.
“Ada seorang ahli keluarga datang untuk ambil barang, dia tutup tingkap dan buka lampu rumahnya sebelum kembali keluar. Sehingga hari ini belum pulang ke rumah,” katanya.
Kanak-kanak berusia empat tahun itu maut di tempat kejadian dan suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE