Pengawal keselamatan didakwa bunuh tukang masak - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan didakwa bunuh tukang masak

ONG Lai Seng dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang tukang masak, Sabtu lalu.

Ong Lai Seng, 65, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd. Manap.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Lai Seng didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Chua Kok Seong, 42, di pondok pengawal, Blok 8, Desa May, Persiaran Paya Terubong di sini, pukul 8.50 malam 5 Disember lalu.

Mahkamah menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam, Teh Ee Teng.

Akhbar pada Ahad lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan bertindak menikam seorang kenalannya dengan 10 kali tikaman pada badan di hadapan sebuah pondok pengawal pangsapuri di Paya Terubong, Ayer Itam.

Ketika kejadian, pengawal keselamatan itu dipercayai sedang bertugas di pondok pengawal perumahan terbabit sebelum berlaku perbalahan mulut yang membawa kepada pergaduhan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN