MELAKA: Seorang pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) di kawasan Bukit Rambai dikesan menjadi pencetus kluster Rambai yang kini menyebabkan 12 individu termasuk seorang bayi disahkan positif Covid-19 di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pengasuh itu disyaki dijangkiti pandemik terbabit selepas pulang dari melawat saudaranya di zon merah di Selangor.
Katanya, jangkitan itu turut menyebabkan keluarga wanita berkenaan serta kanak-kanak yang berada di bawah jagaannya termasuk bayi dijangkiti pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun keadaan masih terkawal dan kita juga mengarahkan tadika itu ditutup bagi tujuan pembersihan dan proses disinfeksi.
“Kebanyakan peningkatan kes di negeri ini bukan disebabkan jangkitan tempatan tetapi mereka yang datang dan pulang dari zon merah, namun tidak menitikberatkan pematuhan SOP,” katanya selepas membuat lawatan pematuhan SOP di Zoo Melaka, di sini, hari ini.
Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman; Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Kesihatan Awam), Dr. Rusdi Abdul Rahman dan Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.
Ujar Rahmad, setakat ini seramai 101 individu disaring dengan 12 daripada mereka disahkan positif, manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.
Dalam perkembangan lain, beliau menafikan mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa kononnya pengunjung yang datang ke Zoo Melaka pada minggu lalu diarahkan membuat ujian calitan Covid-19.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut dan berita tersebut dipercayai ditularkan secara sengaja bagi menakutkan pelancong luar untuk datang ke pusat konservensi haiwan itu.
“Sehingga kini belum ada sebarang jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di zoo dan Kementerian Kesihatan terus memantau lokasi-lokasi pelancongan dan tumpuan ramai di negeri ini bagi memastikan pengunjung mematuhi arahan seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya. – UTUSAN ONLINE