KUALA TERENGGANU: Angka banjir di Terengganu meningkat lebih 2,000 orang menjadikan jumlah keseluruhan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seramai 2,802 mangsa.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, pertambahan mendadak itu bermula lewat petang semalam hingga awal pagi ini susulan hujan lebat yang berlaku dalam tempoh tersebut.
Katanya, setakat pukul 8 pagi ini, sebanyak 76 PPS dibuka di kesemua lapan daerah di Terengganu bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 781 keluarga itu.
“Jumlah tertinggi di Marang dengan 778 mangsa diikuti Setiu (566 orang), Besut (531 orang), Kuala Terengganu (289 orang), Dungun (262 orang), Kuala Nerus (211 orang), Kemaman (147 orang) dan Hulu Terengganu (16 orang).
“Berdasarkan keadaan cuaca yang beransur baik dengan mendung di seluruh daerah, saya menjangkakan ada penduduk yang pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat hari ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Che Adam, keadaan air di sungai-sungai utama di seluruh negeri sebahagian besarnya mencatatkan trend penurunan. – UTUSAN ONLINE