Pemimpin PKR tak setuju kerjasama dengan UMNO - Utusan Malaysia

Pemimpin PKR tak setuju kerjasama dengan UMNO

GINIE LIM SIEW LIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengkhianatan terhadap mandat rakyat didakwa akan berlaku sekiranya Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan UMNO yang disifatkan seperti memberi nafas baharu kepada parti yang telah ditolak rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR, Ginie Lim Siew Lin berkata, cadangan sesetengah pihak untuk membentuk kerjasama antara DAP dan PKR bersama UMNO bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak amat mengejutkan.

Menurut beliau, kerjasama itu bukan berpaksikan prinsip dan dasar sebaliknya hanya kerana kepentingan sendiri yang kononnya atas nama kestabilan politik dan kebaikan rakyat.

“Cadangan ini akan mengecewakan penyokong PH dan rakyat kerana mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah menolak kerajaan kleptokrat yang dipimpin oleh Barisan Nasional-UMNO di bawah Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

“Maka adalah menjadi satu pengkhianatan kepada mandat rakyat jika PH bekerjasama dengan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendedahkan parti itu sudah dua kali mengadakan perjumpaan dengan UMNO membincangkan kemungkinan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Mengulas lanjut, Ginie Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, mereka yang mendapat kuasa pemerintahan melalui taktik ‘perkahwinan politik’ atau ‘marriage of convenience’ terbukti tidak dapat bertahan lama seperti yang berlaku di Johor, Kedah dan Perak.

“Kekuatan PH adalah rakyat, usaha kita menyantuni masyarakat akar umbi pelbagai kaum dan merancang kerangka dasar yang progresif dan inklusif adalah kekuatan PH dalam pilihan raya umum lalu.

“Politik tanpa prinsip akan sentiasa penuh dengan tipu muslihat dan ketidakpercayaan. Akhirnya yang dikejar semata-mata jawatan dan kuasa di atas nama kestabilan kerajaan dan kebaikan rakyat.

“Sekiranya inilah yang dikejar, apakah perjuangan reformasi lebih dua dekad ini suatu yang sia-sia?,” soalnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN