Pemilik pasar raya diminta pamer sijil, sumber bekalan daging import - Utusan Malaysia

Pemilik pasar raya diminta pamer sijil, sumber bekalan daging import

ROSOL Wahid melihat salinan perakuan halal daging yang dipamerkan ketika melakukan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di sebuah pasaraya di Kuala Berang, di Hulu Terengganu hari ini.   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta kerjasama pemilik pasar raya di seluruh negara agar mempamerkan sijil halal di samping maklumat berkaitan sumber bekalan daging import yang dijual di premis mereka. 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bertujuan memberi lebih keyakinan terutama kepada pengguna Islam sekali gus menghilangkan keresahan mereka berhubung status halal daging-daging yang dijual di pasaran.

“Saya yakin produk halal ini bukan sahaja dibeli pengguna beragama Islam, malah menjadi pilihan atau diminati orang bukan Islam. 

“Jadi, sebagaimana sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dipamerkan di setiap premis, kita ingin mengesyorkan agar sijil halal dan sumber bekalan daging dijual seperti di pasar raya turut dipamerkan kepada pembeli. Kalau boleh lampirkan juga salinan yang diakui atau disahkan benar oleh pihak-pihak berkaitan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tinjauan Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di sebuah pasaraya di Kuala Berang, di sini hari ini. 

Yang hadir sama Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia.

Dalam pada itu, Rosol berkata, syarikat daging sejuk beku yang memalsukan logo halal didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

“Syarikat terlibat ini hanya membekalkan kurang daripada satu peratus pasaran di seluruh Malaysia dan pengguna tidak perlu risau kerana kita telah merampas kesemua daging-daging berkenaan,” katanya.

Semalam, kerajaan memberi jaminan bahawa tiada daging babi, kuda mahupun kanggaru dalam rampasan penyeludupan daging berstatus tidak halal yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Rosol ketika memberitahu Dewan Negara, pengesahan berhubung perkara itu telah dipastikan dan diperakui oleh Jabatan Kimia sekali gus memberi sedikit kelegaan terhadap kerisauan umat Islam. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya