MELAKA: Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM445.86 juta yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semalam disifatkan sebagai peruntukan yang menuju ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Pembangkang DUN Melaka, Adly Zahari berkata, perkara itu jelas dapat dilihat menerusi bajet kepada Pejabat Ketua Menteri yang dinaikkan kepada RM5 juta berbanding RM3.15 juta pada zaman Pakatan Harapan (PH) mentadbir.
Katanya, jika dilihat, peruntukan disediakan dalam Belanjawan 2021 kali ini tidak banyak menjurus kepada rakyat, tetapi lebih berfokus kepada operasi tertentu yang tidak dijelaskan kerajaan negeri.
“Saya melihat ada satu perkara yang tersirat. Bajet ini dirancang bagi tujuan menghadapi PRU akan datang, kita tahu kerana kita (PH) pernah berada di kedudukan sana (kerajaan negeri) dahulu.
“Mengikut pengalaman pada 2018 iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita boleh melihat sebahagian besar daripada bajet itu sudah digunakan. Macam di pejabat saya dahulu (Ketua Menteri), hampir 80 peratus dibelanjakan di kala mereka menghadapi PRU sedangkan PH baru masuk pada bulan Mei,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Adly berkata, pihaknya kesal apabila peruntukan pembangunan pendidikan Islam dikurangkan sebanyak 22 peratus iaitu hanya RM11.4 juta pada tahun depan berbanding RM14.7 juta pada Belanjawan Negeri 2020.
“Ketua Menteri maklumkan puncanya adalah kerana penggunaan bersama kelas pembelajaran antara sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan sekolah kebangsaan yang menyebabkan bajet pembangunan itu dikurangkan.
“Tetapi sepatutnya bajet itu ditambah kerana kita tahu di kala Covid-19, infrastruktur pembangunan Islam melalui JAIM itu sendiri mesti ditambah baik dan pada masa sama infrastruktur pendigitalan dalam kalangan jabatan itu juga mesti dipertingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menafikan dakwaan tersebut kerana lebih RM54 juta peruntukan daripada keseluruhan belanjawan berkenaan dikembalikan kepada rakyat.
“Tiada satu pun yang saya bentangkan menuju kepada PRU-15, itu adalah pandangan masing-masing dan saya tidak beranggapan begitu kerana apa yang saya buat ini adalah khusus kepada rakyat yang sepatutnya menerima nikmat daripada limpahan ekonomi yang ada dalam negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE