Pelupusan najis babi bersistematik atasi masalah pencemaran, bau busuk - Utusan Malaysia

Pelupusan najis babi bersistematik atasi masalah pencemaran, bau busuk

NORLELA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebuah tempat pelupusan sisa najis babi yang lebih bersistematik perlu diwujudkan khususnya di Tasek Gelugor bagi mengurangkan masalah pencemaran air dan bau busuk di beberapa kawasan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, pihaknya mencadangkan lokasi khas berkeluasan kira-kira 0.8 hektar bagi tujuan berkenaan.

Katanya, cadangan lokasi pembuangan atau pelupusan sisa najis babi secara bersistematik itu akan dibentangkan terlebih dahulu ketika sesi mesyuarat Exco  akan datang.

“Tapak perparitan (lokasi pembuangan najis babi) itu akan dibina di kawasan yang jauh daripada penempatan penduduk, sumber air seperti sungai utama dan sebagainya.

“Kita juga menggunakan kawasan itu untuk menanam semua sisa pepejal najis haiwan berkenaan hingga pada kedalaman yang mencecah empat kaki (lebih 1.2 meter),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Negeri Bagi Pelesenan Ladang Babi di bawah Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi peringkat negeri yang julung kali diadakan.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Anun Man, wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS), wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Meskipun masih di peringkat cadangan, kenyataan Norlela itu dilihat mampu memberi kelegaan kepada penduduk setempat khususnya di Kampung Selamat dan Kampung Tok Bedu di situ yang saban hari terpaksa menghidu bau busuk najis haiwan itu sejak 40 tahun lalu.

Dalam pada itu, Norlela berkata, sebanyak 126 pemilik ladang babi di negeri ini  membuat permohonan mendapatkan lesen antara 1 Mac hingga 7 Oktober lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana pemilik ladang babi yang beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari ini berisiko dikenakan tindakan kompaun sehingga RM15,000.

“Pada masa sama, semua ladang babi juga perlu menaik taraf sistem penternakan babi moden menjelang 31 Disember 2021 sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dijalankan mulai Januari 2022 ,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya