Pelabur Bahrain berminat ternak ayam daging di Malaysia - Utusan Malaysia

Pelabur Bahrain berminat ternak ayam daging di Malaysia

NIK Muhammad Zawawi Salleh (dua kiri) menunjukkan hasil madu kelulut yang dihasilkan peladangnita di Pasir Puteh, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pelabur dari Bahrain pada dasarnya bersetuju untuk menyuntik dana sebanyak RM800 juta bagi membangunkan projek usahasama penternakan ayam daging di negara ini. 

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perkara itu dinyatakan dalam perbincangan dengan wakil kerajaan Bahrain di ibu negara kelmarin.

Katanya, walaupun masih di peringkat awal, perkembangan itu mampu memberi harapan baharu kepada sektor penternakan negara termasuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. 

“Saya akan berbincang lebih lanjut dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk memastikan penyertaan LPP dalam projek usahasama yang berdaya maju ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Peladangnita di Dewan Utama Pejabat Ahli Parlimen Pasir Puteh, di sini hari ini. 

Yang hadir sama Pengerusi Jemaah Pengarah LPP negeri, Datuk Abdul Aziz Derasid; Pengarah LPP negeri, Mohd. Hanifa Awang Su dan Ketua Peladangnita negeri, Mariam Ismail. 

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, selain menternak, pelabur terbabit juga bersetuju mengeksport hasil ternakan ke negara mereka serta membina kilang pemprosesan makanan ayam di negara ini. 

“Peluang ini perlu direbut untuk kita memperluaskan dagangan hasil pertanian dan industri hiliran ke pasaran rantau Timur Tengah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya akan melakukan kajian dan perancangan bagi memasarkan hasil industri kecil dan sederhana (IKS) yang diusahakan Peladangnita ke Timur Tengah terutama Mesir dan Yaman.

Katanya, antara produk tempatan yang mendapat permintaan tinggi dari negara-negara tersebut adalah sos cili dan madu kelulut.

“Oleh sebab itu rancangan pemasaran perlu diusahakan segera sebaik sahaja ancaman pendemik Covid-19 berakhir,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya