SHAH ALAM: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu anak guamnya supaya tidak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), tiga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, P. Nagarajan, 52, didakwa antara pukul 1 petang, 18 September 2017 hingga 9 malam, 1 November tahun sama telah menipu S. Bala Krishan, 52, sehingga menyerahkan wang sebanyak RM67,000 secara tunai dan pindahan wang secara elektronik serta ke dalam akaun firma guamannya.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di Kajang termasuk tempat letak kenderaan Restoran Sri Paandi, Jalan Semenyih, Kajang dekat sini.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Zander Lim Wai Keong mencadangkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam bela, Vikraman Rajo yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan pendapatan firma guaman anak guamnya terjejas sejak pandemik Covid-19 melanda.
“Tertuduh juga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan ulser,” ujarnya.
Mahkamah selepas membuat pertimbangan menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Januari 2021.
Difahamkan, Nagarajan akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan serupa membabitkan kerugian sebanyak RM73,000. – UTUSAN ONLINE