Pecah masuk rumah teman wanita, curi duit bayar e-hailing - Utusan Malaysia

Pecah masuk rumah teman wanita, curi duit bayar e-hailing

SHAMSUL AMAR RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Gara-gara tidak mempunyai wang untuk membayar perkhidmatan e-hailing, seorang lelaki warga Indonesia memecah masuk rumah teman wanitanya dan melarikan RM150 dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Botanik, di sini kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan itu memakan dirinya apabila ditahan dalam tempoh kurang 24 jam bersama seorang lelaki warga tempatan di sebuah flat di Taman Sri Andalas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin apabila suspek bersama rakannya bertindak memecah masuk rumah teman wanitanya.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan itu disedari rakan serumahnya dan suspek bertindak mengugut individu terbabit supaya tidak memaklumkan kepada rakannya jika tidak mahu dicederakan.

“Suspek bertindak melarikan dua tabung duit dan wang tunai RM150, sejumlah matawang Indonesia serta kad pengenalan Indonesia serta power bank.

“Bertindak hasil maklumat, polis menahan kedua-dua suspek dalam tempoh kurang 24 jam dengan mereka mengakui melakukan jenayah tersebut.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengakui mengambil wang tabung sejumlah RM73 bagi membayar perkhidmatan aplikasi e-haling,” katanya di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, pihaknya turut merampas sebuah power bank dan sebungkus duit syiling bernilai RM50 dipercayai dicuri kedua-dua suspek terbabit.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN