Pas mahu jadi pendamai dalam PN - Utusan Malaysia

Pas mahu jadi pendamai dalam PN

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas akan memainkan peranan sebagai pendamai bagi menjernihkan semula hubungan antara parti-parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) selepas undi usul percaya terhadap Menteri Besar Perak di negeri itu, baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu adalah antara isu yang akan dibawanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas Pusat, petang ini.

“Pas ini kerjanya untuk mendamaikan dan bukan mencucuh api permusuhan. Kerja kita hendak mendamaikan dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas melibatkan 12 Ahli Majlis Tertinggi Kepimpinan Pas Pusat petang ini.

“Saya sendiri akan memberi pandangan untuk menjernihkan semula keadaan antara semua parti terlibat,” katanya selepas menerima taklimat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kompleks Ibu Pejabat Keda di sini, hari ini.

Beberapa spekulasi timbul mengenai hubungan antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas setelah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa meletak jawatan ekoran gagal menerima sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika undi usul percaya dijalankan terhadapnya, Jumaat lalu.

Ketika ini terdapat ura-ura menyatakan UMNO akan membentuk kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP di Perak dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan turut tidak menolak kemungkinan tersebut.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, krisis politik yang berlaku di Perak sama sekali tidak melarat ke negeri ini dengan hubungan antara parti-parti yang membentuk kerajaan berada pada tahap terbaik.

“Di Kedah keadaannya cukup harmoni dengan kita pun terbuka dalam mendengar serta menerima pendapat. Kita pun tak ada buat kerja tak elok jadi takkanlah mereka tak sokong.

“Tak ada pula ura-ura ada mana-mana pihak nak bawa undi percaya atau tak percaya terhadap saya ke DUN. Sama ada dengan UMNO, Bersatu malah pembangkang sekali pun, semua kita kawan,” katanya.

Tambahnya, jika berlaku pun usul undi percaya mahu pun tidak percaya di Sidang DUN Kedah, beliau percaya perkara itu tidak akan memberi sebarang kesan jika cuma didokong oleh seorang atau dua ADUN. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN