Pas Kelantan mahu PN atau MN? - Utusan Malaysia

Pas Kelantan mahu PN atau MN?

AKBAR Salim (tengah) ketika membacakan kenyataan media di Bangunan UMNO Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ZAAIN ZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan mungkin membuat keputusan drastik meletak calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Akbar Salim berkata, perkara itu bakal berlaku sekiranya Pas mengenepikan Muafakat Nasional (MN) dan lebih cenderung untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

“Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kelantan dalam HarakahDaily dan Malaysiakini diterbitkan pada 2 Disember 2020, UMNO Kelantan kurang jelas sama ada Pas masih ingin meneruskan MN atau sebaliknya.

“Sekiranya Pas cenderung mengenepikan MN, UMNO dan BN Kelantan bersiap sedia meletakkan calon di semua kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen pada PRU-15,” katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Memetik kenyataan Datuk Ahmad Yakob dalam portal berita baru-baru ini, Timbalan Mursyidul Am Pas itu dilaporkan berkata, perjuangan parti Melayu tidak sepatutnya terhad antara Pas dan UMNO semata-mata.

Beliau secara peribadi berpendapat semua parti Melayu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bersama, bukan sekadar dua parti iaitu Pas dan UMNO yang kini membentuk kerjasama menerusi MN.

Mengulas lanjut, Akbar berkata, Pas Kelantan perlu segera menyatakan pendirian yang jelas supaya pihaknya tidak terus tertanya-tanya status sebenar kerjasama antara dua parti itu di negeri ini.

“UMNO Kelantan komited dan istiqamah kepada piagam MN yang telah dimeterai di peringkat kebangsaan bersama Pas sebagai agenda penyatuan ummah.

“Jika Pas Kelantan juga komited kepada piagam ini, kita akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan berhubung pembahagian kerusi antara kedua-dua parti di negeri ini,” katanya.

Ditanya tentang hubungan UMNO dengan Bersatu di negeri ini, beliau memberitahu, setakat ini, pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan atau mesyuarat rasmi dengan Bersatu Kelantan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN