GUA MUSANG: Ibu bapa masyarakat Orang Asli di Kampung Sendrop, Tanah Tinggi Lojing di sini mengambil inisiatif membuka kelas tuisyen untuk anak-anak mereka belajar sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Kelas Tuisyen itu, Rasid Akoh berkata, kelas tidak formal dan percuma tersebut dikendalikan belia Orang Asli sendiri yang cukup berdedikasi mendidik anak bangsa supaya tidak terus tercicir dalam pelajaran.
Katanya, kelas selama dua jam itu diadakan tiga kali seminggu.
“Kelas itu diadakan di balai sewang perkampungan tersebut yang boleh memuatkan 50 pelajar.
“Idea ini adalah cetusan ibu bapa sendiri kerana cuti sekolah panjang dan mereka ingin memberi manfaat ilmu pelajaran kepada anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambah Rasid, selain mengajar menulis dan membaca, kanak-kanak Orang Asli diberi pendedahan tentang bahaya pandemik Covid-19 dan penerangan norma baharu yang perlu diamalkan kini.
Sementara itu,seorang ibu, Jariah Tahir, 45, menyokong usaha itu dan menghantar tiga anaknya untuk menyertai kelas tuisyen tersebut.
“Kelas tuisyen ini mengisi masa terluang anak kami ketika musim cuti sekolah ini.
“Kebiasaan cuti sekolah ini, anak-anak dibiarkan bebas bermain tetapi sekarang kita hadkan masa mereka untuk memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE