Operasi hari ke-10 tamat, jasad Loqman Hamka gagal ditemukan - Utusan Malaysia

Operasi hari ke-10 tamat, jasad Loqman Hamka gagal ditemukan

PASUKAN keselamatan berdoa selepas membuat keputusan menamatkan operasi pencarian pada hari ke-10.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Mungkin sudah ketentuan Ilahi, jasad Loqman Hamka, 20, yang dikhuatiri lemas bersemadi di Sungai Pahang selepas gagal ditemukan sehingga operasi terakhir hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh, Hashnuddin Hussein berkata, operasi pencarian yang dilakukan selama 10 hari sejak 30 November lalu ditamatkan kira-kira pukul 1.30 petang ini.

“Sehingga ke hari ini tiada sebarang petanda bagi menemukan mangsa yang jatuh ke Sungai Pahang dalam operasi yang dilakukan melibatkan pelbagai pihak.

“Walaupun operasi ini secara rasmi ditutup, bomba terus membantu sekiranya terdapat keperluan malah penduduk setempat dan nelayan masih meneruskan pencarian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 30 November lalu, Loqman yang keluar menaiki bot bagi meilhat rawai yang dipasang di Sungai Pahang berhampiran dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, bot mangsa ditemukan hanyut oleh penduduk setempat di sekitar Kampung Kuala Kunjan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan mencemar duli menyertai operasi pencarian Loqman pada 3 Disember lalu di sekitar Kampung Tebing Tinggi di sini.

Menurut Hashnuddin, operasi mencari dan menyelamat pada hari ini dianggarkan sejauh 52 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dikhuatiri jatuh.

Katanya, kawasan lokasi pencarian tertumpu kepada dua kawasan berbeza iaitu di belakang sangkar ikan Kampung Tebing Tinggi serta jambatan baharu Kampung Guai.

“Pasukan bomba memberikan tumpuan pencarian dan penyelaman di sekitar dasar sungai berhampiran Kampung Tebing Tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi pencarian yang dilakukan agak sukar memandangkan keadaan arus sungai yang deras terutama di bahagian bawah sungai.

Selain itu katanya, kewujudan banyak sangkar ikan serta keadaan dasar sungai yang berlumpur memberi cabaran kepada pasukan mencari dan menyelamat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya