Op Dadu: 480 ditahan, lebih RM41,000 wang judi dirampas - Utusan Malaysia

Op Dadu: 480 ditahan, lebih RM41,000 wang judi dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 354 serbuan dibuat terhadap semua jenis aktiviti perjudian dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menerusi Op Dadu sepanjang tahun ini melibatkan tangkapan seramai 480 orang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, jumlah tangkapan itu menyaksikan peningkatan drastik berbanding hanya 72 tangkapan daripada keseluruhan 366 serbuan, tahun lalu.

Beliau berkata, daripada 354 serbuan tahun ini, 262 daripadanya melibatkan aktiviti judi loteri awam haram, 76 judi dalam talian serta 16 aktiviti perjudian lain-lain.

Sementara itu, katanya, jumlah 366 serbuan pada 2019 pula melibatkan 314 aktiviti judi loteri awam haram, 40 judi dalam talian dan 12 lain-lain aktiviti perjudian.

“Jumlah rampasan wang tunai susulan kegiatan itu juga meningkat iaitu daripada hanya RM5,625 tahun lalu kepada RM41,273 tahun ini.

“Pada masa sama, jumlah pemotongan bekalan elektrik di premis-premis yang disyaki terlibat dengan aktiviti tersebut turut bertambah daripada 10 buah tahun lalu kepada 41 buah premis sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shafee memberitahu, hasil siasatan pihaknya mendapati kegiatan perjudian itu beroperasi dengan cara berselindung di sebalik perniagaan kedai menjual pakaian, rumah kedai serta kedai telefon.

Katanya, kesemua suspek yang ditangkap khususnya untuk tahun ini pula berusia dalam lingkungan usia 21 tahun hingga 62 tahun.

“Tindakan pemotongan elektrik ini dibuat di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1966 dan polis akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi membanteras kegiatan perjudian online selain memastikan daerah SPT bebas daripada aktiviti tidak sihat ini.

“Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini diminta tampil menyalurkannya sekali gus bersama-sama membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN