Nur Aimi Nadiah sedar setelah hampir dua minggu dirawat - Utusan Malaysia

Nur Aimi Nadiah sedar setelah hampir dua minggu dirawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas hampir dua minggu menerima rawatan, ibu kepada tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam nahas di Kilometer 272.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di sini pada 16 Disember lalu, akhirnya dilaporkan sudah sedarkan diri.

Difahamkan, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, sudah sedar sejak beberapa hari lalu dan kini ditempatkan di wad biasa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa yang telah boleh bercakap itu juga kini dalam keadaan stabil.

Katanya, pemantauan masih dijalankan ke atas wanita itu yang ditempatkan di wad biasa hospital berkenaan bagi proses pemulihan.

“Polis menunggu waktu yang sesuai untuk mengambil keterangannya berhubung kejadian itu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi kepada media.

Menurut A. Asmadi, pihaknya telah mengambil keterangan beberapa pihak bagi membantu siasatan kes kemalangan berkenaan

“Siasatan masih berjalan. Kita sudah mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, tiga anak Nur Aini Nadiah, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di tempat kejadian.

Kemalangan itu turut menyebabkan Nur Aimi Nadiah cedera parah dan dikejarkan ke HRPB untuk rawatan.

Nahas menimpa empat beranak itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang berada di lorong kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya