KUALA LUMPUR: Kewujudan Pasukan Petugas Khas (NTF) perlu diteruskan terutama dalam aspek kawalan di sempadan walaupun pandemik Covid-19 berakhir.
Panglima Angkatan Tentera , Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ini kerana penyusunan dan kewujudan dan model operasi yang dilaksanakan NTF menunjukkan kesan positif dalam pelbagai aspek termasuk pengawalan sempadan terutama mengekang penyeludupan, kemasukan petandatang tanpa izin (PATI) serta rentas sempadan.
“NTF dapat berfungsi dan bergerak ketika negara berdepan ancaman Covid-19 dalam mengawal sempadan dan penguatkuasaan undang-undang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika dilihat fungsi NTF dari segi penyusunan serta model operasi, ia amat efektif. Mungkin kita akan meneroka fungsi NTF ini dengan lebih luas sebagai contoh dalam kawalan sempadan pada masa depan (walaupun pandemik berakhir),” katanya semalam.
Terdahulu, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi Op Benteng di Wisma Perwira.
Yang hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritin Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, NTF yang menerajui Op Benteng memberi tumpuan kepada pencerobohan PATI yang bukan sekadar mencari tempat selamat di negara kita malah berkait dengan jenayah rentas sempadan. – UTUSAN ONLINE