KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon popular, Neelofa tidak berkecil hati dengan spekulasi atau khabar angin negatif mengenainya terutama di media sosial.
Dalam ciapan di laman Twitternya, Neelofa berkata demikian sebagai menjawab soalan peminat bagaimana dia berhadapan dengan kontroversi atau spekulasi negatif.
“Sejujurnya selalunya saya hanya ketawa sahaja. Tidak berkecil hati kerana semua itu tidak benar. Jadi kenapa kita perlu ambil kisah? Seterusnya, kita move on!” katanya.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor sebelum itu membuka ruang pertanyaan untuk peminatnya di laman Twitter tersebut.
Neelofa menjadi tumpuan dalam media sosial semalam berikutan spekulasi keretakan hubungannya dengan pendakwah, Haris Ismail yang belum ada jawapan.
Kontroversi hangat itu dikatakan berpunca daripada gambar yang dimuat naik oleh ahli keluarga Neelofa di Instagram yang didakwa seperti memberi ‘hint’ tentang keretakan hubungan mereka.
Spekulasi hubungan mereka yang dikatakan berantakan semakin panas apabila ada yang mendakwa mereka sudah bernikah.
Neelofa kemudian memuat naik video di media sosialnya menyangkal dakwaan terkena minyak pengasih, memindahkan sejumlah wang kepada Haris dan sudah bernikah di Kelantan. – UTUSAN ONLINE