Nasib 204 pekebun Musang King 23 Disember - Utusan Malaysia

Nasib 204 pekebun Musang King 23 Disember

MUSANG KING
Pekebun durian mengadakan demonstrasi aman di Sungai Ruan bagi membantah tindakan pengambilalihan pengurusan ladang durian mereka di Raub, Pahang. -UTUSAN/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Nasib 204 pekebun durian Musang King di Raub dekat sini sama ada perlu mengosongkan tanah diteroka mereka akan diketahui pada 23 Disember ini. 

Perkara itu dinyatakan Mahkamah Tinggi di sini yang menangguhkan keputusan yang sepatutnya diputuskan hari ini berhubung permohonan pendengaran kes semakan kehakiman difailkan 110 pekebun durian di Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka. 

Penangguhan dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz bagi membolehkan pihak responden dan plantif menyelesaikan pengurusan kes.

Zainal Azman berkata, penangguhan juga bagi membolehkan pihak mahkamah meneliti afidavit baharu yang ikemukakan pihak plaintif pada minggu lalu, untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan difailkan 94 lagi pekebun durian di Raub. 

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) , Royal Pahang Resources PKPP Sdn. Bhd. dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Kesemua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva.

Pada prosiding hari ini, Choon Jern memaklumkan kepada mahkamah pihaknya telah menulis kepada Jabatan Peguam Negara satu persetujuan bahawa keputusan mahkamah bagi permohonan 110 plaintif terpakai untuk permohonan 94 pekebun yang lain.

Hujahnya, persetujuan itu dibuat oleh pihaknya dan Peguam Negara dan satu surat telah dikemukakan kepada mahkamah bagi memaklumkannya.

Choon Jern turut memohon mahkamah melanjutkan tempoh penggantungan sementara notis pengosongan tanah tersebut sehingga Januari kerana sebilangan pekebun menerima notis sama daripada PKPP yang mengarahkan dibuat selewat-lewatnya Januari 2021.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan ia tidak perlu dilanjutkan kerana  tarikh keputusan ditetapkan pada bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN