PETALING JAYA: Pendakwah selebriti yang masih direman kerana dikaitkan dengan kes rogol dan cabul menggunakan taktik mahu menukar baju sebelum mempelawa mangsa ke rumahnya.
Satu sumber berkata, maklumat tersebut terdedah hasil soal siasat terhadap mangsa-mangsa yang terjerumus dengan kes seksual itu.
“Berdasarkan siasatan semua kes cabul dan rogol membabitkan mangsa-mangsa berlaku di rumah pendakwah.
“Mangsa-mangsa akan mengikut pendakwah berkenaan ke rumahnya selepas pendakwah itu memberi alasan mahu tukar baju.
“Bila berada di dalam rumah, ketika itu pendakwah berkenaan didakwa mengambil kesempatan mencabul dan rogol mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, dedah sumber itu lagi, rata-rata mangsa mengakui tertarik dengan pendakwaan berkenaan yang juga fasih berbahasa Arab.
“Kebolehan itu kerana dia pernah menetap di Mesir dengan bapanya. Kelebihan berbahasa Arab membuatkan ramai tertarik dengannya selain popular sebagai da’i,” jelas sumber.
Tambahnya, siasatan setakat ini mendapati pendakwah berkenaan memang menggunakan popularitinya untuk memperdayakan mangsa.
“Tiada unsur jampi atau ilmu sesat digunakan untuk memperdaya mangsa,” ujarnya. – UTUSAN