Mohd. Sukari dilantik KP Penerangan baharu - Utusan Malaysia

Mohd. Sukari dilantik KP Penerangan baharu

MOHD. SUKARI AB. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Penerangan Malaysia mengumumkan Datuk Mohd. Sukari Ab. Hamid dilantik sebagai Ketua Pengarahnya yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, beliau menggantikan Roselindawati Abdul Rahman yang bersara wajib pada 17 November lalu.

Mohd. Sukari, 59, berasal dari Kedah adalah penyandang ke-18 dan memulakan kerjaya sebagai pegawai penerangan di ibu pejabat jabatan itu di Kuala Lumpur pada 1987.

Beliau kemudian ditempatkan sebagai pegawai perhubungan awam di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos pada 1989 selama 14 tahun sebelum berpindah ke Kedah pada 2003.

Kali ini, Mohd. Sukari diberikan kepercayaan untuk menerajui Jabatan Penerangan Negeri sebagai Pengarah Penerangan Kedah sebelum kembali semula ke ibu pejabat pada 2009.

Graduan sarjana muda bidang sastera di Universiti Sains Malaysia pada 1985 itu dilantik Pengarah Bahagian Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan.

Beliau seterusnya menjadi Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 2012 kerana tahap kredibiliti dan pengalaman luasnya.

Kemudian, Mohd. Sukari dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) pada 2014 diikuti sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) pada 2018.

Kenyataan jabatan tersebut menambah, setahun selepas itu, beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) sebelum dilantik bagi menerajui jawatannya sekarang.

Mohd. Sukari pernah menyertai beberapa kursus profesional jangka pendek dalam bidang komunikasi di Singapura pada 1992 selain kepimpinan strategik di dalam dan luar negara.

Ini termasuk bidang pengurusan kewangan dan belanjawan di Universiti Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat yang terkenal dalam pengajian perhubungan awam pada 1995.

Selain cemerlang dalam kerjaya, beliau aktif dalam beberapa badan profesional antaranya ahli lembaga di Institut Perhubungan Raya Malaysia, Majlis Media Malaysia dan Bernama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN