Mohamad Ali, Timbalan YDP Dewan Negara yang baharu - Utusan Malaysia

Mohamad Ali, Timbalan YDP Dewan Negara yang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parlimen hari ini melantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu.

Mohamad Ali, 56, adalah calon tunggal yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usul pencalonan beliau dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berdasarkan Peraturan  Mesyuarat 5 (2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Ia kemudian disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya.

Bagaimanapun, pada awalnya usul pencalonan Mohamad Ali dibantah oleh Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd. Hamid yang bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 2.

Mohamad Imran mempersoal kedudukan Perdana Menteri yang didakwa bukan Ahli Dewan Negara dan tidak boleh mengemukakan pencalonan itu.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, isu sama pernah dibangkitkan sebelum ini semasa pencalonannya sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara pada mesyuarat sebelum ini.

“Barang siapa yang mengemukakan pencalonan sama ada oleh Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis atau seorang  Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat,  maka ia dianggap layak mengemukakan pencalonan, maka usul ini diterima pakai sebagai sah.

“Maka pandangan Yang Berhormat itu tidak dapat diterima, sehubungan itu proses dan prosedur pada pagi ini diteruskan,” katanya.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad yang tamat penggal perkhidmatannya pada 22 November lalu.

Mohamad Ali yang dilantik sebagai Senator pada 20 Mei 2020 kemudiannya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Rais. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya