KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai oleh UMNO dan Pas menyelesaikan hampir 60 hingga 70 peratus urusan berkenaan pembahagian kerusi dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, melalui dua kali perundingan jawatan kuasa untuk tujuan itu, kedua-dua parti bersetuju bahawa kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu adalah kekal menjadi milik masing-masing iaitu UMNO, 55 kerusi dan Pas (18 kerusi).
Beliau berkata, untuk kerusi yang gagal dimenangi oleh UMNO atau Pas, akan diputuskan berdasarkan jumlah undian yang diterima pada PRU-14.
Namun, tegasnya, ia belum dimuktamadkan dan mengakui memerlukan masa yang agak panjang berikutan kedudukan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dan Pas yang menjadi komponen rasmi Perikatan Nasional (PN).
“MN dalam mesyuarat kita yang terakhir kira-kira 10 hari yang lalu telah bersetuju untuk dipercepatkan lagi proses perundingan kerusi antara parti-parti yang terlibat dalam MN dan juga BN dan PN. Itu yang pertama, bersetuju dipercepatkan.
“Sekarang ini oleh kerana Pas juga adalah anggota kepada PN bersama dengan Bersatu, adalah juga dipersetujui di peringkat BN supaya rundingan disegerakan peringkat BN dan PN. Yang mana Pas dah berunding dengan UMNO tapi dia anggota pada PN, jadi UMNO pula kita anggota kepada BN,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, sesi dialog bersama media yang julung kali diadakan Pas membayangkan ketiga-tiga komponen parti Melayu di bawah MN dan PN masih kabur menetapkan kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15.
Malah, Pas seakan-akan tidak pasti berhubung kedudukan parti itu ketika diasak dengan soalan oleh media.
Dalam pada itu, Annuar menambah, telah wujud satu persefahaman di antara BN dengan PN agar saling menyokong dan tidak bertembung dalam PRU-15 kelak.
Jelasnya, konsensus mengenai perkara itu telah dibincangkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika bertemu untuk menyelesaikan konflik Menteri Besar baharu di Perak.
“Secara kasarnya pada hujung minggu ini atau awal minggu depan, kita harap ketiga-tiga parti dapat menetapkan satu tarikh bagi sambungan pada proses rundingan itu,” ujarnya.
Mengulas mengenai agihan kerusi dalam BN pula, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, rundingan mengenainya telah 90 peratus selesai melalui tiga mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Berjalan mengikut beberapa peringkat, kita ada peringkat satu, dua dan tiga dan keseluruhannya saya boleh kata 90 peratus itu sudah selesai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE