MELAKA: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan menyamar sebagai ejen insurans, salah guna cek dan memalsukan tandatangan membabitkan nilai kerugian lebih RM700,000 tujuh tahun lalu.
Loo Mei Lin, 48, seorang pengerusi sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.
Pertuduhan pertama, Mei Lin didakwa memperdayakan seorang wanita, Teh Eet Meng, 54, dengan menyamar sebagai ejen insurans Allianz yang berdaftar bagi membeli 16 polisi sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM626,40.98.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Mei Lin juga didakwa di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan cek Citibank milik mangsa sama berjumlah RM93,500.
Bagi kesalahan itu dia berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan empat sehingga 16, tertuduh didakwa memalsukan tandatangan milik penama Yap Soo Hui, 27, pada borang permohonan insurans hayat Allianz.
Bagi tindakan itu, Mei Lin didakwa mengikut Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara November 2013 sehingga Julai 2015 dengan nilai keseluruhan kerugian berjumlah RM719,902.98.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad dan Mazuin Hashim yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira jumlah kerugian ditanggung mangsa adalah tinggi.
Peguam Nizam Bashir, Linda Phua dan Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya ibu tunggal dan perlu menanggung tiga orang anak, selain menghidap penyakit jantung dan masalah kewangan akibat Covid-19.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua 19 pertuduhan dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 20 Januari depan. – UTUSAN