Menara pemancar mini dibina di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah - Utusan Malaysia

Menara pemancar mini dibina di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah menara pemancar mini telekomunikasi bakal dibina di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah Kelantan bagi menambah baik liputan internet di kawasan itu.

Ia susulan aduan masalah liputan lemah sebagaimana dialami seorang penuntut universiti di kampung itu yang terpaksa belajar di khemah yang didirikan di atas bukit di belakang rumahnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, pemancar sedia ada yang terletak berdekatan dengan kampung itu dalam lingkungan 2.5 kilometer (km) turut ditambah baik.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada kelulusan segera pihak berkuasa berkaitan sekali gus kualiti liputan dijangka dapat diperbaiki menjelang Januari depan.

“Sementara menunggu langkah naik taraf diselesaikan, para pelajar di kawasan berkenaan digesa memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdekat di PIK Kusial Bharu, kira-kira 3.5 kilometer dari rumah pelajar tersebut.

“Pelajar tidak seharusnya membahayakan diri terhadap sebarang risiko kemalangan. Orang ramai boleh menyemak lokasi 873 PIK melalui pendaftaran kata laluan di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SKMM berkata, terdahulu, pegawai SKMM berjumpa dengan keluarga serta menjalankan pemantauan di rumah penuntut berkenaan baru-baru ini dan mengesahkan liputan jalur lebar mudah alih adalah lemah.

Ini kerana, katanya, kedudukan kampung yang agak jauh dari lokasi stesen pemancar sedia ada dan terlindung disebabkan keadaan muka bumi yang berbukit.

Dalam pada itu, SKMM memberitahu, pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan yang baik untuk pembelajaran secara dalam talian diseru memanfaatkan kemudahan yang terdapat di 873 PIK seluruh negara.

Jelasnya, setiap PIK yang dibiayai SKMM mempunyai kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), capaian Internet yang laju dan petugas sepenuh masa yang boleh membantu pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan di situ.

“Setiap PIK dilengkapi 20 unit komputer, liputan Wifi dan ruang berhawa dingin untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

“Pengurus PIK juga boleh mengkhususkan bilik latihan yang selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar-pelajar yang perlu mengambil peperiksaan dalam talian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN