SEREMBAN: Seorang lelaki terpedaya dengan seorang wanita ahli sindiket Love Scam yang mendakwa warga Australia dikenalinya menerusi Facebook sehingga kerugian RM2,250.
Mangsa seorang mekanik berusia 33 tahun mengenali wanita tersebut sejak Oktober lalu.
Pada pukul 11 pagi, 2 Disember lalu, mekanik itu mendakwa menerima pesanan menerusi ‘messenger’ memberitahu dia telah sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kemudian, saya menerima panggilan seorang wanita mendakwa sebagai pegawai kastam yang meminta saya memasukkan duit sebanyak RM2,250 ke dalam satu akaun bank bagi Sijil Pelepasan Antipengganas.
“Semasa ditahan kawan saya itu dikatakan tiada mata wang Ringgit Malaysia (RM),” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon di Pusat Khidmat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang di Seremban 2 dekat sini hari ini.
Menurut mangsa lagi, dalam tempoh dua jam, wanita berkenaan sekali lagi menghantar pesanan dan memaklumkan urusannya belum selesai dan memerlukan wang tambahan sebanyak RM5,200.
“Wanita berkenaan mahu saya memindahkan wang tersebut bagi tujuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Namun, saya merasakan ada yang tidak kena dan mengesyaki ada unsur penipuan untuk mempergunakan saya bagi mendapatkan wang sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Nicole Tan yang juga ADUN Bukit Kepayang berkata, orang ramai perlu mengambil iktibar berkenaan kes penipuan melibatkan sindikit Love Scam terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Saya faham pelbagai idea dilakukan untuk menipu orang awam. Saya harap orang ramai tidak mempercayai dengan rakan dikenali menerusi media sosial,” katanya. – UTUSAN