IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat kepercayaan majoriti daripada ahli DUN Perak akan menghadap Sultan Perak bagi proses pelantikan Menteri Besar baharu.
Ahmad Faizal berkata, beliau akan memohon menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada pihak Istana dan menunggu perkenan baginda bagi mempersembahkan keputusan usul undi percaya terhadap beliau dalam sidang DUN Perak hari ini.
“Speaker DUN akan menyembah maklum keputusan undi percaya dalam DUN hari ini, saya juga akan mohon menghadap baginda. Saya kira selepas itu sultan akan membuat keputusan untuk memilih salah seorang daripada kami ahli dewan yang baginda percaya mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
“Saya kira perkara ini perlu dilakukan dengan segera kerana kerajaan negeri perlu meluluskan belanjawan tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ahmad Faizal percaya Sultan Nazrin akan membuat keputusan terbaik dalam pemilihan menteri besar yang baharu.
“Saya fikir mungkin berlaku perubahan menteri besar sahaja.
“Saya berlapang dada merima keadaan itu dan sebagai Pengerusi Bersatu Perak, saya akan cari jalan untuk beri peluang kepada Menteri Besar baharu menjalankan tanggungjawab beliau,” katanya.
Ditanya sama ada Bersatu Perak akan kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri yang ada sekarang perlu dikekalkan.
“Kerajaan PN diterima baik oleh rakyat dan momentum itu perlu dikekalkan.
“Saya berlapang dada menerima apa yang berlaku hari ini dan sebagai Pengerusi Bersatu Perak, saya saya akan cari jalan untuk beri peluang kepada Menteri Besar baharu menjalankan tanggungjawab beliau,” katanya.
Mengenai undi percaya terhadapnya, Ahmad Faizal berkata, perkara itu mungkin disebabkan pihak lain berasakan mereka lebih baik dalam pentadbiran.
“Apa yang berlaku di Perak sebelum pagi ini berjalan baik, namun mungkin ada di antara yang melihat pentaddiran saya tidak baik.
“Tapi semasa mereka dalam pentadbiran saya, semuanya okey tapi mungkin mereka berasakan lebih layak menduduki kerusi Menteri Besar dan saya berlapang dada merima keadaan itu,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli DUN Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau hari ini.
Dalam undian daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Abd. Manaf Hashim.
Pada awalnya, usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak dalam persidangan DUN yang bermula hari ini.
Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) kepada DUN diterima Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid. – UTUSAN ONLINE