ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menolak dakwaan mengatakan beliau menghina kaum India dalam kenyataan dikeluarkannya berkaitan perobohan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah dekat sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau melihat ada beberapa pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya selain menuduhnya menyatakan perkara yang tidak langsung disebutkan dalam kenyataan itu.
“Kalau tak faham apa yang dinyatakan itu, saya fikir mereka perlu masuk semula kelas bahasa Melayu. Sebab bahasa Melayu ini penuh dengan kiasan dan bidalan.
“Kata-kata kiasan dan bidalan ini tidak bermaksud secara terus sebaliknya ada makna tersirat.
“Sebagai contoh orang mabuk cinta, bukannya dia mabuk dan bercinta sebaliknya cuma ‘syok’ kepada cinta dan itulah juga yang dimaksudkan dengan mabuk populariti seperti saya nyatakan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima taklimat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kompleks Ibu Pejabat Keda di sini, hari ini.
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris dilaporkan mendakwa Muhammad Sanusi memberikan perumpamaan ‘minum todi’ kepada masyarakat India manakala Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP, Kasthuri Patto menyifatkan kenyataan dikeluarkan Menteri Besar itu bersifat jahil dan rasis.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ada antara mereka yang menyerangnya ketika ini tampak bertindak ‘lebih lajak dari laju’ kerana berlebih-lebihan dalam memberi reaksi.
“Malah, terdapat juga media-media tertentu yang ‘memusing’ kenyataan saya berhubung perkara inu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE