PENDANG: Masyarakat Siam di Kampung Wat Paya Mak Inson gembira apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjanji mempercepatkan pelaksanaan liputan 4G di kawasan tersebut awal tahun depan.
Penduduk memberitahu, pelaksanaan liputan 4G itu akan membantu mereka dalam menguruskan kehidupan harian dengan baik terutama melibatkan pembelajaran secara dalam talian anak-anak mereka.
Boon Sis, 54, berkata, penduduk gembira apabila SKMM sanggup turun padang mendengar masalah mereka.
“Masalah 3G jadi isu besar kerana ia membabitkan pembelajaran anak-anak sekolah sampai ada yang menyewa di luar semata-mata mahu liputan baik.
“Jadi apabila SKMM sanggup mengadakan dialog dengan kami kelmarin dan berjanji melaksanakan 4G ini mengujakan kami dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Wat Paya Mak Inson di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan SKMM akan berusaha mempercepatkan pelaksanaan liputan 4G di Kampung Watt Paya Mat Inson.
Jaminan disuarakan Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek ketika sesi dialog antara penduduk kampung itu semalam.
Seorang lagi penduduk, Malina Ipon, 33, berkata, liputan Internet yang baik akan menjimatkan masanya menguruskan pembelajaran anak-anak.
“Tentulah kami gembira. Sebelum ini setiap hari terpaksa keluar ke pekan berhampiran semata-mata nak siapkan kerja sekolah anak-anak.
“Masa terbuang begitu sahaja kalau anak tak buat kerja sekolah, tentulah pelajaran mereka ketinggalan,” katanya.
Suharkdi Park, 33, pula berkata, selama ini dia membayar bil talian Internet lebih RM200 setiap bulan namun gagal mendapat liputan kerana masalah signal yang teruk.
“Pencawang di belakang rumah tetapi liputan 3G ini amat menyeksakan. Ada masanya sesak nak buka Internet nak bayar bil pun payah.
“Kalau SKMM sudah berjanji sedemikian harap semua masalah liputan 3G ini akan selesai dengan cepat,” katanya.- UTUSAN