PUTRAJAYA: Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyokong penuh kenyataan Dr. Mohd. Puad Zarkashi agar ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pendirian Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menandakan satu penjajaran politik baharu dan sudah tiba masanya mana-mana ahli Parlimen khususnya dalam kalangan UMNO bertindak.
Kata Ketua Penerangan PKR itu, ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN sewajarnya berjiwa besar dan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apatah lagi parti itu belum lagi menyertai Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, cabaran ke depan buat UMNO ialah untuk terus kekal sebagai parti politik yang memperjuangkan kepentingan Melayu.
“Kepentingan UMNO pasti akan bertembung dengan kepentingan Bersatu dan Pas menyebabkan kerjasama politik mereka tidak mapan.
“UMNO perlu mencari rakan politik baharu yang boleh memastikan kepentingan politik mereka dan juga agenda negara dapat diperjuangkan dengan wujudnya kestabilan politik yang mencerminkan jamak ras, budaya dan agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Puad menyarankan ahli-ahli Parlimen BN melakukan tindakan berani itu walaupun dilihat seolah-olah ‘membunuh diri’.
Namun, kata Puad, jika ia dilakukan ‘demi rakyat’, maka tidak ada apa salahnya.
“Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Nampak macam kamikaze tetapi apa salahnya, demi rakyat.
“Mungkin tidak semua (ahli parlimen BN) sanggup. Lima orang tarik sokongan pun alhamdulillah. Tiga pun OK. Gunakan hati nurani,” katanya dalam satu hantaran di media sosial. – UTUSAN ONLINE