KANGAR: Dua tekong sanggup mempertaruhkan nyawa dengan terjun ke laut bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi ketika cuba menyeludup 200 kilogram (kg) daun ketum di muara Kuala Perlis kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, semasa membuat rondaan Op Benteng Covid pukul 7.45 petang, pihaknya menerima risikan Marin Kuala Kedah berkaitan penyeludupan daun ketum ke Thailand.
Katanya, sebuah sampan fiber tidak bernombor dikesan dalam keadaan mencurigakan telah memecut bagi mengelak ditahan.
“Kami menahan sampan tersebut tetapi dua suspek di dalam sampan tersebut bertindak memecut laju ke darat dan terjun dari sampan serta berenang ke daratan.
“Pemeriksaan menemukan 20 bungkusan plastik hitam berisi daun hijau yang dibungkus dengan plastik lut sinar disyaki daun ketum bernilai RM20,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, turut dirampas adalah sampan fiber dan sebuah enjin ekor panjang yang masing-masing bernilai RM5,000 hingga RM2,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM27,000.
Tambahnya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan,” ujarnya. – ONLINE